Harga siling pelitup muka akan diturunkan lagi

Umavathi Ramayah
Ogos 25, 2020 11:44 MYT
Kerajaan bercadang untuk menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan di bawah RM1 seunit - Astro AWANI/Shahir Omar
Kerajaan bercadang untuk menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan di bawah RM1 seunit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata cadangan itu akan diputuskan selewat-lewatnya hujung Oktober depan.
Katanya, keputusan itu akan diputuskan sebaik sahaja kerajaan membuat kajian terperinci.
"Jadi saya mohon pemain industri mengambil maklum perkara ini. Jangan kata kita tidak memberi notis atau kenyataan terlebih dahulu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) mengenai kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga pelitup muka yang kini ditetapkan pada harga siling RM1.
Mengulas lanjut Alexander berkata, cadangan penurunan harga siling pelitup muka itu diambil kira selepas mendapati bekalan itu mencukupi.
Menjelaskannya, kata beliau, ia didorong oleh pertambahan pengkilang kepada 10 kilang pada ketika ini.
"Dulu kita hanya ada enam kilang, sekarang sudah ada 10 kilang. Bulan Oktober ini akan ada empat lagi kilang yang akan mula beroperasi," katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini, 10 buah kilang mampu mengeluarkan 1.5 juta unit pelitup muka pada setiap hari.
Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan masih belum bercadang untuk mengurangkan harga siling pelitup muka kanak-kanak yang dikatakan saiznya lebih kecil berbanding pelitup muka dewa.
Walaupun begitu beliau menegaskan, kerajaan masih mengadakan rundingan dengan pemain industri.
#Dewan Rakyat #facemask #Parlimen #pelitup muka
;