Harga siling kit ujian kendiri: Persatuan farmasi mahu kerajaan wajibkan pembekal beri rebat
Nickyson Nyambar
September 4, 2021 22:47 MYT
September 4, 2021 22:47 MYT
KUALA LUMPUR : Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) memohon agar kerajaan mewajibkan semua pengeluar atau pembekal memberikan nota kredit atau rebat kepada ahli farmasi terhadap stok kit ujian kendiri COVID-19 yang telah dibeli.
Presiden MCPG, Lovy Beh dalam satu kenyataan berkata, kumpulan atau komuniti farmasi amat mengalu-alukan keputusan kerajaan dalam menentukan harga siling kit ujian berkenaan pada harga RM19.90.
Bagaimanapun, langkah itu secara tidak langsung memberi impak kepada ahli farmasi yang mana mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi terhadap stok yang telah dibeli sebelum pelaksanaan harga siling baharu berkenaan.
"Ini bermakna, pengeluar telah mengaut keuntungan berganda selama ini, walaupun kita telah menurut keperluan mereka seperti membeli secara pukal dengan pelbagai harga untuk mengekalkan harga berpatutan buat pengguna, yang sekali gus mempengaruhi aliran tunai serta pengurusan stok kami.
"Kerajaan bagaimanapun tidak jelas dengan keputusan penetapan harga siling baharu ini. Pihak kami tidak diberitahu atau tidak dirunding, dan kemudiannya diberi tempoh masa yang singkat bagi melaksanakan perkara ini dalam masa tiga hari dari 5 September 2021," kata Beh pada Sabtu.
Ujarnya, perkara yang sama pernah berlaku sebelum ini dalam pelaksanaan harga siling bagi pelitup muka pada tahun lepas.
Jelas Beh, ahli komuniti farmasi terpaksa menanggung kos yang besar sendirian, selain dihimpit dengan pelbagai tohmahan seperti mengaut keuntungan pada masa sukar.
"Pengenalan bagi harga siling baharu perlu dilakukan dari awal dan bukannya setengah jalan. Kini pihak farmasi diibaratkan seperti 'orang jahat' dan kerajaan adalah 'wira', dengan pengeluar atau pembekal mengaut keuntungan yang besar ketika ini," jelas Beh lagi.
Terdahulu, kerajaan telah menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga siling itu berkuat kuasa 5 Sept ini.
#harga siling
#kit ujian kendiri COVID-19
#KPDNHEP
#Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia
#Lovy Beh
#MCPG