Harga siling bahan api setiap minggu: PDAM setuju dengan langkah kerajaan- Hamzah
Rahimah Abdullah
Mac 9, 2017 17:10 MYT
Mac 9, 2017 17:10 MYT
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bersetuju dengan langkah kerajaan memperkenalkan harga siling bahan api setiap minggu bermula April ini, ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Jelasnya, persetujuan itu diperoleh dalam satu pertemuan antara PDAM dan kementeriannya dua hari lalu.
"Saya telah pun berjumpa mereka. Maklumat (bahawa PDAM tidak jelas mengenai langkah kerajaan) itu adalah sebelum perjumpaan saya dengan mereka. Mereka bersetuju dengan apa yang kita lakukan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia dan Sehari Bersama Usahawan-Usahawan PKS Bimbingan KPDNKK di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau sudah menjelaskan perkara-perkara yang menjadi kebimbangan syarikat pembekal dan pengusaha stesen minyak susulan langkah kerajaan memperkenalkan harga siling bahan api setiap minggu bulan depan.
"(Sebelum ini) ada salah faham mengenai apa yang mereka (PDAM) patut lakukan dan apa jenis margin yang mereka ada iaitu sama ada mereka akan dapat extra margin atau tidak, dan saya rasa itu telah dapat diselesaikan," katanya lagi.
Pertemuan bersama semua syarikat minyak juga dilakukan pada petang ini di pejabatnya di Putrajaya.
"Pertemuan dilakukan di Putrajaya. Jadi, kamu perlu tunggu hasil pertemuan dengan semua syarikat minyak berkenaan. Saya perlu mendapat persefahaman dengan mereka berhubung perkara ini," jelas beliau.
Hamzah sebelum ini berkata, harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.
Ia merupakan pendekatan baharu supaya pengguna lebih jelas mengenai turun naik harga bahan api semasa.