Harga sekilogram ayam dijangka cecah lebih RM10 - FLFAM

Shuhada Abdul Kadir
Jun 17, 2022 19:04 MYT
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Datuk Jeffery Ng Choon Ngee bercakap kepada pemberita berhubung isu harga ayam pada sidang media di sini hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Harga baharu ayam segar selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini, perlu melebihi RM10 sekilogram bagi mendapatkan situasi ‘menang-menang’ antara pemain industri rantaian makanan itu serta pengguna.
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, ia mengambil kira kos operasi di ladang ternakan bagi sekilogram ayam yang meningkat kepada kira-kira RM7 sekilogram susulan penamatan subsidi RM1.40 kepada penternak yang berkuat kuasa 1 Julai ini.
Mengakui semua pihak termasuk pengguna terhimpit dengan isu kenaikan harga ayam ketika ini jelasnya, perbincangan antara pemain industri ayam bersama Kementerian Industri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu diadakan segera bagi mendapatkan persefahaman sebelum harga ayam mula diapungkan.
Katanya persefahaman itu perlu dimeterai bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan sehingga harga terakhir ayam segar yang perlu dibayar oleh pengguna menjadi tidak masuk akal.
“Apa yang kita minta adalah harga yang berpatutan, bukan harga yang rendah. Harga yang rendah itu seseorang atau ada pihak kena menanggung kerugian itu.
“(Bawah RM10 dah tak relevan?) Kalau untuk sekarangkan, ikut (harga) antarabangsa memang sudah tak relevan lagi. Harga antarabangsa, walaupun di Brazil pun sekurang-kurang RM12 (sekilogram). Kalau kita dapat beli ayam kurang RM12, kita tak untung,” katanya.
Dia bercakap kepada pemberita berhubung isu harga ayam pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, harga ayam segar yang kini RM8.90 sekilogram tidak dapat menampung kos yang perlu ditanggung oleh pihak yang terlibat dalam industri ayam selain penamatan subsidi pada akhir bulan ini akan menyebabkan pihak penternak terpaksa berdepan dengan kenaikan pelbagai kos.
Untuk rekod, pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini turut dilaporkan berkata, kerajaan tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai ini selain penternak turut berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penamatan Skim Harga Maksimum Ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang.
Ini termasuk dibimbangi negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.
Dalam pada itu katanya, beliau menyambut baik penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bagi memastikan bekalan dalam industri ayam terus dijamin.
#Harga Ayam #skim harga maksimum #FLFAM #penternak
;