Harga sayur di Kedah naik menjelang musim tengkujuh - KPDNHEP
Adie Sufian Zulkefli
November 27, 2021 11:50 MYT
November 27, 2021 11:50 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengesahkan kenaikan harga sayur-sayuran di negeri ini berlaku apabila menjelang musim tengkujuh.
Ini ditambah pula keadaan cuaca yang tidak menentu dan ketidakseimbangan permintaan dalam pasaran, yang juga menyumbang kepada harga barangan naik secara mendadak.
Pengarah KPDNHEP Kedah Rae Morn Verak berkata, kenaikan harga barangan seperti ayam dan sayur-sayuran antara lain berpunca dari peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun.
Menurutnya, sebahagian besar kos operasi syarikat membabitkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.
"Sehubungan itu, pihak KPDNHEP Kedah menggerakkan seramai 172 orang pegawai penguat kuasa dan 51 orang pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh negeri ini bagi memantau serta menangani isu kenaikan harga barangan yang berlaku.
"Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan, terutama, penduduk luar bandar dan pendalaman, pihak KPDNHEP melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program penyeragaman harga dan program pengedaran barangan perlu seperti beras, minyak masak, gula, diesel petrol RON 95 dan gas memasak LPG," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rae Morn berkata, susulan daripada isu kenaikan harga barangan, pihak KPDNHEPnya turut menjalankan pemeriksaan berterusan di pasar awam dan pasar raya untuk memastikan peniaga tidak menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi.
Katanya, harga di pasar raya juga didapati berlaku peningkatan dan penurunan setiap hari namun tidak membabitkan semua jenis barangan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta mengambil keuntungan secara berlebihan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Mereka boleh dikenakan tindakan penalti bagi kesalahan mencatut iaitu Seksyen 14 (1) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun untuk individu manakala kesalahan kali kedua denda tidak melebihi RM250,000 atau tidak melebihi lima tahun penjara.
"Bagi syarikat atau perbadanan pula denda tidak melebihi RM500,000 manakala kesalahan kali kedua denda tidak melebihi RM1 juta," katanya.
Rae Morn berkata, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Kedah menjalankan pemeriksaan premis sebanyak 69,166 buah premis bagi seluruh negeri Kedah dan menghasilkan sejumlah 924 tindakan kes yang membabitkan pelbagai akta yang dikuat kuasakan oleh KPDNHEP dengan nilai rampasan sebanyak RM607,051.75 manakala nilai kompaun sebanyak RM152,600.
Beliau berkata, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat perbandingan harga barangan keperluan di hujung jari dengan memuat turun aplikasi Price Catcher yang dibangunkan menggunakan platform Android dan iOS bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.
"Aplikasi ini mempaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.
"Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis yang berlainan di sesuatu kawasan," katanya.
Rae Morn berkata, melalui aplikasi ini juga, pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga yang berpatutan dan dapat mengoptimakan perbelanjaan.