Harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol kekal - KPDN
Bernama
Disember 8, 2023 11:00 MYT
Disember 8, 2023 11:00 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengekalkan harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol sebagai usaha membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan hari ini berkata, harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg pada RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90), berkuat kuasa hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Kementerian berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil bagi membantu pengguna dari terkesan dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah, melalui inisiatif-inisiatif Kerajaan MADANI.
"Antara inisiatif ini adalah mengekalkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen dalam botol menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.13) 2023," katanya.
Pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000.
- BERNAMA
#Harga runcit
#minyak masak sawit tulen
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
#harga minyak masak kekal