Harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol kekal - KPDN

Bernama
November 7, 2023 20:04 MYT
Harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol bagi tempoh 8 Nov hingga 7 Dis ini kekal, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini. - Gambar hiasan/REUTERS
PUTRAJAYA: Harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol bagi tempoh 8 Nov hingga 7 Dis ini kekal, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.
KPDN berkata harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg pada RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90) yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"(Ini) komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga. Ini bagi mengelak pengguna terkesan dengan sebarang bentuk kenaikan harga barangan yang tidak munasabah," kata KPDN dalam kenyataan hari ini.
Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Sabit kesalahan, bagi individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kpdn #Harga runcit #minyak masak sawit tulen #minyak dalam botol
;