Harga RON97 turun 22 sen, RON95 dan diesel kekal

Bernama
Jun 14, 2019 18:38 MYT
Harga RON95 dan diesel pula masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter. - Gambar fail/REUTERS
Harga runcit RON97 turun sebanyak 22 sen kepada RM2.41 seliter, bagi tempoh 15 hingga 21 Jun ini, bermula tengah malam ini.
Harga RON95 dan diesel pula masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan itu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
"Penurunan ini berikutan harga petroleum yang diproses di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya," katanya.
Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya ialah masing-masing RM2.11 dan RM2.19 seliter.
"Namun pengekalan harga runcit petrol itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#APM #diesel #harga minyak #Harga minyak mentah Brent #harga petrol #Harga runcit RON97 #Lim Guan Eng #Mekanisme Harga Automatik #Menteri Kewangan #produk petroleum #RON95 #RON97
;