Harga RON95, RON97 turun 4 sen, diesel turun 5 sen
Isabelle Leong
Julai 24, 2020 17:00 MYT
Julai 24, 2020 17:00 MYT
Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 4 sen manakala diesel pula turun 5 sen berkuat kuasa 25 hingga 31 Julai ini.
Kementerian Kewangan, menerusi satu kenyataan pada Jumaat, memaklumkan harga runcit RON95 yang sebelum ini RM1.72 seliter diturunkan kepada RM1.68 seliter sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu, harga runcit bagi RON97 diturunkan kepada RM1.98 seliter yang mana sebelum ini RM2.02 seliter.
Kementerian itu juga mengumumkan penurunan harga runcit diesel yang turun daripada RM1.87 seliter kepada RM1.82 seliter.
Kementerian Kewangan berkata ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Penurunan ini dipengaruhi oleh perubahan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia pada masa ini.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan.