Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

Bernama
Julai 28, 2021 18:00 MYT
MOF menyatakan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian, bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh mulai esok hingga 4 Ogos ini, sementara harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.74.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan," demikian menurut kenyataan itu.
MOF menyatakan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian, bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-- BERNAMA
#RON95 #RON97 #diesel #harga minyak #Kementerian Kewangan #minyak #petrol
;