Harga produk berjenama di kedai runcit akan diselaras seperti di KR1M 2.0 - Hamzah
Wan Syamsul Amly
Februari 13, 2018 17:21 MYT
Februari 13, 2018 17:21 MYT
Harga jualan semua produk berjenama di kedai runcit akan diselaraskan sama seperti yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia tidak mustahil berlaku dengan strategi perniagaan yang akan dilaksanakan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
"Jadi saya bincang dengan pembekal, pengeluar dan pembuat apakah caranya untuk mereka menurunkan kos.
"Jadi dengan strategi yang digunakan melalui PNS ini saya dapati boleh kita turunkan (harga), walaupun tidak besar tetapi sekurang-kurangnya boleh.
"Ia memberi perasaan bahawa ada cara untuk kita mengurangkan harga, itulah strategi yang kita lakukan. Kalau hendak tanya saya apa strateginya, ini adalah strategi perniagaan yang dilakukan oleh PNS,"katanya semasa sidang media selepas sesi taklimat media mengenai KR1M di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak 50 barang keperluan harian berjenama dijual lebih murah di 51 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 seluruh negara bermula bulan ini.
Jelasnya, KR1M 2.0 bermula dengan empat barang keperluan asas iaitu gula,minyak masak, tepung dan beras yang dijual lebih rendah dari harga pasaran kecuali minyak masak yang diberi subsidi oleh kerajaan.
Dalam pada itu kata Hamzah, operasi KR1M 2.0 bakal diperluaskan merangkumi kedai runcit persendirian dalam usaha membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Ujarnya, ia juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan membantu golongan pengusaha kedai runcit persendirian
Jelasnya lagi, penjualan barangan di premis KR1M tidak tertakluk hanya kepada warganegara sahaja.
KR1M 2.0 ialah penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak tahun 2011.
Dalam KR1M 2.0 kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan beri peluang lebih ramai peniaga runcit menyertai KR1M 2.0
Model baharunya berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.