Harga pasaran minyak sawit negara dijangka stabil dalam tempoh enam bulan
Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 13, 2022 16:42 MYT
Ogos 13, 2022 16:42 MYT
KUCHING: Harga pasaran minyak sawit dalam negara dijangka stabil dan pulih secara berperingkat dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun mendatang.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata, situasi itu tidak akan berlarutan walaupun Indonesia telah menarik semula larangan eksport diikuti dengan pengecualian levi eksport negara untuk semua produk minyak sawit di negara itu sehingga 31 Ogos depan.
Jelasnya walaupun berlaku sedikit penurunan harga sawit di pasaran, buah tandan segar (BTS) dijangka masih boleh dijual dengan harga yang baik tidak kurang daripada RM300 per tan.
“Walaupun kita melihat harga sawit agak menurun sedikit tetapi kita tidak merasakan ia akan turun lebih daripada RM300 per tan, kalau dua ke tiga tahun yang lepas harganya cuma RM200 satu tan untuk BTS, tapi sekarang ini di peringkat harga BTS di peringkat ladang lebih kurang dalam RM700 menunjukkan pasaran kita masih ada potensi.
“Perkara ini tidak akan berlarutan dengan lebih lama dan kita jangka ia pulih dalam tempoh enam bulan sehingga satu tahun mendatang. Ini adalah hasrat kita selain agro komoditi yang lain seperti lada, koko dan sebagainya juga ada peningkatan dibandingkan dengan harga terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kursus jahitan dan anyaman Persatuan Wanita Parlimen Puncak Borneo di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Malaysia turut menyatakan pendirian untuk membantu Indonesia dalam menangani inventori minyak sawitnya yang tinggi selepas aktiviti eksport minyak sawit di Indonesia dilaporkan tidak kembali ke paras biasa walaupun larangan eksport produk berkenaan ditarik balik pada 23 Mei lalu.
Sementara itu, melihat kepada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang meningkat kepada 8.9 peratus, Ahli Parlimen Puncak Borneo itu yakin industri terkait dengan kementeriannya telah menyumbang nilai yang besar walaupun kuantiti perdagangan dan eksport berkurang.
Katanya, pulangan ekonomi yang cemerlang ini juga adalah hasil pelaksanaan program pembangunan keusahawanan yang relevan menerusi perniagaan dalam talian khasnya kepada golongan wanita dan keluarga B40.
“Kita mahu lebih ramai mereka yang mempunyai kemahiran untuk melaksanakan modul latihan berkonsepkan kemahiran ini kepada golongan wanita, ibu tunggal, atau isi keluarga B40 untuk mereka menjana pendapatan yang lebih baik menerusi kursus-kursus seperti jahitan, anyaman, pengendalian spa, urutan tradisional dan sebagainya," katanya.