Harga minyak: 'Tidak adil serang saya guna kenyataan 20 tahun lepas' - Anwar

Ridauddin Daud
Februari 25, 2024 19:28 MYT
Anwar berkata, kenyataan beliau pada dua dekad lepas berpandukan kepada keadaan pada waktu itu, yang sememangnya berbeza dengan sekarang.
KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah tidak adil kenyataan beliau berkaitan usaha menurunkan harga minyak pada 20 tahun lalu masih digunakan untuk menyerangnya hingga sekarang.
Perdana Menteri berkata, kenyataan beliau pada dua dekad lepas berpandukan keadaan pada waktu itu, yang sememangnya berbeza dengan sekarang.
“Ini akan jadi isu, Anwar kata harga minyak turun tapi naik…tapi sebenarnya turun sebab harga minyak kita sekarang RM2.05, di Arab Saudi RM2.95.
“Bayangkan…masa saya umum dulu kita akan turunkan harga minyak, harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen.
“Harga kita RM1.50 sedangkan kita pengeluar minyak. Tapi kos sekarang sudah bertambah. Jadi nak gunakan kenyataan yang 20 tahun dahulu, tidak adillah.
“Yang penting apa? Saya tidak mahu naikkan harga minyak, harga minyak naik kalau diapungkan... tapi kita tampung melalui dana.
“Boleh terima tak cara ini? Kalau tidak, RM7 hingga RM8 bilion bagi pada orang asing, orang kaya tiada masalah. Kalau orang asing bayar cukai, tidak mengapalah, kita boleh dapat pulangan. Ini cukai pun tidak bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Dialog Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.
Tambahnya, subsidi negara perlu diberikan kepada rakyat yang sepatutnya terutama golongan B40 dan M40, bukan orang kaya dan warga.
“Orang paling kaya, yang pakai Rolls Royce, Bentley sekarang dapat subsidi. Masuk akalkah?
“Malaysia (merdeka) dah berpuluh tahun, masih lagi bagi subsidi kepada orang terkaya di Malaysia, subsidi kepada hampir empat juta orang asing.
“Lebih baik saya ambil wang, bayar terus kepada akaun rakyat. Itu pendekatan kita,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #harga minyak #warga asing #subsidi minyak
;