Harga minyak sawit dijangka bertambah baik - Teresa Kok

Bernama
Mei 23, 2019 06:47 MYT
TERESA KOK: Saya percaya pada bulan-bulan akan datang ia akan pulih, saya percaya harga minyak sawit akan meningkat semula. - Foto BERNAMA
Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim yakin harga minyak sawit akan bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Stok minyak sawit di Malaysia, pengeluar kedua terbesar dunia, turun 6.62 peratus kepada 2.73 juta tan metrik pada April 2019 daripada 2.92 juta tan metrik pada Mac 2019.
"Ketika ini, terdapat lebihan minyak boleh dimakan. Itulah sebabnya mengapa harga minyak sawit kita juga agak rendah, tetapi saya percaya pada bulan-bulan akan datang ia akan pulih, saya percaya harga minyak sawit akan meningkat semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Duta Pelajar Minyak Sawit', di sini, pada Khamis.
Minyak boleh dimakan lain seperti minyak kacang soya dan minyak biji sesawi juga mengalami penurunan harga, katanya apabila ditanya mengenai prospek harga minyak sawit berikutan stok rendah yang dilaporkan pada April.
Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini.
Pada sesi penutup, kontrak bulan semerta Jun 2019 turun RM34 kepada RM1,974 setan metrik, Julai 2019 susut RM39 kepada RM2,002 setan metrik, Ogos 2019 berkurangan RM41 kepada RM2,016 setan metrik dan September 2019 susut RM43 kepada RM2,031 setan metrik.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia Derivatives #Duta Pelajar Minyak Sawit #harga minyak sawit #Menteri Industri Utama #minyak sawit #minyak sawit mentah #Teresa Kok Suh Sim
;