Harga minyak mingguan: PDAM jumpa Dr Mahathir hari ini

Bernama
Disember 30, 2018 05:48 MYT
Mulai 1 Jan, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan. - Gambar hiasan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bertemu Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) hari ini untuk membincangkan pengumuman Putrajaya mengenai sistem apungan harga minyak secara mingguan.
Perdana Menteri berkata perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada bagaimana untuk mengatasi kebimbangan PDAM selepas sistem apungan harga minyak secara mingguan bermula pada Selasa.
"Ya, mereka datang berjumpa, kita akan berbincang dengan mereka dan kita sedang cuba untuk menyelesaikan masalah ini.
"Saya akan berbincang dengan mereka esok (Isnin) dan kita akan berusaha mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada media selepas penutupan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
BACA: Naikkan komisen atau operasi stesen minyak cuma 18 jam sehari - PDAM
Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa mulai 1 Jan, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.
Pengumuman itu mendorong PDAM menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar komisen bagi jualan bahan api untuk anggotanya bagi menampung kos operasi yang dijangka meningkat berikutan penetapan harga jualan runcit petroleum secara mingguan.
BACA: Bukan ugutan, tapi demi kelangsungan perniagaan - PDAM
Ditanya sama ada kerajaan bimbang jika berlaku kekurangan bekalan bahan api selepas sistem apungan harga bahan api mingguan dilaksanakan, Dr Mahathir berkata beliau hanya dapat memberi jaminan bahawa bekalan adalah mencukupi.
"Anda sentiasa meminta jaminan. Ya, saya hanya boleh memberi jaminan, tetapi jika bekalan tidak mencukupi apa yang boleh saya lakukan," katanya.
-- BERNAMA
#Bersatu #bincang #harga jualan runcit #harga minyak #komisen #kos operasi #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #mingguan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PDAM #Perhimpunan Agung Tahunan #Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia #sistem apungan
;