Harga minyak masak botol di peringkat peruncit mula menyusut - Nanta

Faris Danial Razi
Julai 22, 2022 19:26 MYT
Alexander (kiri) ketika lawatan turun padang ke premis pemborong, Chan Era (M) Sdn Bhd, di Sibu pada Jumaat. - Facebook Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Harga minyak masak botol di peringkat peruncit mula merekodkan penyusutan sekali gus berada di paras terendah sejak Julai 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengadakan lawatan ke sebuah premis pemborong pada Jumaat berkata, minyak masak tulen kemasan botol 5kg kini dijual pada harga RM39 di peringkat peruncit, berbanding RM45 bulan lalu.
“Ia susulan penurunan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 semalam.
“Kali terakhir paras rendah sebegini direkodkan adalah pada Julai 2021, manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 dicatatkan pada Mac tahun ini.
“Pengurangan harga sebanyak 13 peratus ini adalah hanya permulaan, memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga berikutan kesan CPO akan terus berlaku.
“Mengikut simulasi KPDNHEP sebelum ini, kadar CPO semasa (RM3,814.50) sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol 5kg dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65,” jelasnya beliau menerusi satu kenyataan di Facebook.
Bagaimanapun tambahnya, ‘reflection’ atau kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit.
“Jangan ada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO ini, dengan alasan kerana mahu menghabiskan stok bekalan lama,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Alexander dilaporkan berkata, harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.
#Alexander Nanta Linggi #KPDNHEP #harga minyak #minyak masak botol
;