Harga minyak dunia runtuh, bukan bermakna durian runtuh bagi pemandu

Razak Chik
April 21, 2020 11:45 MYT
Anda terperanjat tangki minyak motosikal atau kereta anda tidak sehaus dahulu? - Gambar hiasan
RAKYAT Malaysia mungkin tak duduk diam terima berita harga minyak dunia runtuh apabila mereka bangun pagi pada Selasa.
Apa taknya, sekarang semua pemandu sudah berani pam minyak RON 97, manjakan kereta walaupun hanya memandu si Kancil comel.
Dengan berita menggemparkan dari Amerika, harga West Texas Intermediate (WTI) jatuh hampir negatif AS$40 setong, adakah ini bermakna jika anda isi minyak hari ini di stesen petrol, tuan punya stesen akan membayar anda pula bagi setiap liter petrol?
Turun naik harga minyak yang menggemparkan ini lebih melibatkan pedagang di pasaran dunia, tanpa banyak menjejaskan pemandu kereta di Malaysia.
Harga minyak yang setiap pemandu dan penunggang motosikal bayar di stesen petrol dikawal kerajaan melalui mekanisme subsidi.
Namun, dengan harga minyak yang murah kebelakangan ini, sudah tentu jumlah subsidi yang rendah mencukupi untuk penentuan harga minyak yang semakin menurun.
Itu sebabnya, anda terperanjat tangki minyak motosikal atau kereta anda tidak sehaus dahulu.
Untuk memahami apa yang berlaku di medan dagang minyak antarabangsa, mari kita kenali apa itu WTI mahupun saingannya Brent.
BACA: Harga minyak AS jatuh bawah $0
Brent bermakna minyak mentah yang berpunca dari medan petroliam Laut Utara milik Britain dan Norway.
West Texas Intermediate (WTI) pula berpunca dari medan petroliam darat mahupun laut Amerika Syarikat di Texas, Louisiana dan North Dakota.
WTI merupakan produk asas yang didagang di New York Mercantile Exchange di mana pedagang mempertaruh harga ke hadapan.
Mereka tidak ubah seperti berjudi – membuat janji kontrak sanggup membeli WTI pada satu harga yang ditetapkan (sekarang Mac-April), untuk dikutip, dibeli, dibayar (bulan hadapan - Mei).
Proses (niaga hadapan) ini membawa untung jika harga yang dikutip/beli/bayar lebih rendah dari harga yang ditetapkan pada bulan Mac-April. Kerugian ditanggung jika sebaliknya berlaku.
Apa yang berlaku pada Isnin (waktu New York) / Selasa (waktu Malaysia) adalah tangki simpanan petroliam yang tertumpu di Cushing, Oklahoma bagi bahan api yang sudah dipesan untuk kutipan pada Mei, sudah penuh.
Tanpa kemampuan untuk menyimpan stok baharu, harga minyak semasa (Spot Price) untuk bekalan pada bulan Mei tidak lagi berharga berbanding harga niaga hadapan untuk bulan Jun pula (yang masih belum wujud).
Berdasarkan prinsip ekonomi permintaan dan perbekalan, harga untuk bulan Mei merudum, hingga ke paras negatif.
Mengapa Brent tidak terjejas teruk seperti WTI?
Lokasi penyimpanan keluaran Brent terletak di medan carigali di Laut Utara.
Kadar pengeluaran yang rendah dan ruang penyimpanan yang mencukupi bermakna harga Brent stabil pada paras AS$26.04 setong, turun hanya 7.2 peratus.
Sementara itu, Presiden Donald Trump mengambil kesempatan ini mengumumkan Amerika Syarikat akan masuk ke pasaran dan membeli petroliam pada harga rendah ini untuk mengisi stok strategiknya.
Trump bercadang menambah simpanan strategik petroliam Amerika Syarikat sebanyak 75 juta tong dari kejatuhan harga WTI pada Isnin.
#harga minyak #kerajaan #niaga hadapan #pasaran #pasaran dunia #pedagang #pemandu #petrol #petroliam #stesen minyak #stok minyak #subsidi #tangki minyak #West Texas Intermediate #WTI
;