Harga melonjak sehingga RM3,000 setan, pendapatan peneroka sawit bertambah

Astro Awani
Disember 28, 2019 16:41 MYT
Kenaikan harga kelapa sawit ternyata memberi berita gembira kepada pekebun kecil termasuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Foto BERNAMA
Kenaikan harga kelapa sawit baru-baru ini ternyata memberi berita gembira kepada pekebun kecil termasuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Tinjauan Astro AWANI di Felda Air Tawar Tiga, Kota Tinggi mendapati rata-rata peneroka dan juga generasi kedua yang mengusahakan tanaman komoditi itu bersyukur dengan harga baharu tanaman kontan itu.
Peneroka Felda, Ashab Mohd Dasin berkata harga baharu ini memberi keceriaan kepada pekebun dan juga dirinya.
Katanya harga RM3,000 setan itu lebih munasabah dan wajar dengan ekonomi yang mencabar pada masa kini.
Malah pendapatan bersih mereka juga bertambah dari purata RM800 kepada RM1,800 sebulan.
“Maknanya kenaikan ini adalah keadaan semasa. Semua faham dan tahu harga sebelum ini akan turun jadi kita tidak berapa ceria. Kenaikan ini memberi keceriaan. RM3,000 satu tan bermakna impaknya ada kebaikan buat peneroka bersama seluruh negara. Harap kenaikan ini berterusan kakau turun naik pun, harap kadar munasabah," kata Ashab ketika ditemui hari ini.
Bagi peneroka generasi kedua Felda, Sahruden Mohamed dia berharap harga sawit ketika ini dapat kekal lama.
Katanya jika ada perubahanpun diharap kadar itu tidak terlalu jatuh mendadak.
"Alhamdulillah, harga sawit kembali baik sekarang ini. Kita harapkan harga itu kekal lama. Kalau turun sikit, jangan lama sangat. Naik tidak mengapa, jangan turun," kata Sahruden ketika ditemui di sini hari ini.
"Kita ikut Felda, jual kepada Felda. Cuma kita menguruskan sendiri sawit, baja racun sendiri. Bermakna keuntungan itu dapat kepada kita. Harga naik untung sikit, kelebihan kita pun bagi adik beradik semua," kata seorang lagi pekebun, Zaharudin Yahaya.
Penjualan buah kelapa sawit, diraih dua bulan sekali dengan purata empat hingga lima tan bagi setiap sekali jualan.
Secara purata bagi tanaman kelapa sawit seluas 10 ekar, kebiasaannya pekebun boleh meraih sehingga lapan tan sawit sebulan.
Jumlah yang diperolehi hasil penjualan sawit itu pula perlu diagihkan untuk upah menyawit kepada pekerja, selain kos bagi penyelenggaraan dan pembelian baja.
Sementara itu, peningkatan eksport dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada Disember menyaksikan harga komoditi itu dijangka akan kekal melepasi RM3,000 setan.
Pedagang dari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng melihat pengurangan antara 10 hingga 15 peratus pengeluaran MSM menjadikan harganya kekal kompetetif yang diunjurkan sehingga suku pertama 2020.
“Kita dapat lihat berlaku penurunan pengeluaran jika dibandingkan tahun ke tahun atau bulan ke bulan. Jika lihat pada Disember, ia menunjukkan pengeluaran MSM di Malaysia menurun kepada 1.2 ke 1.3 juta tan berbanding tahun sebelumnya iaitu penurunan sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Saya fikir itu yang menjadi pemacu kepada harga MSM di pasaran untuk melebihi RM3,000 setan disebabkan penurunan pengeluaran,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu kata David lagi, komitmen pelaksanaan biodiesel di Indonesia dan Malaysia juga bakal memperkukuh sentimen peningkatan yang sudah pun meluas di pasaran ketika ini.
“Kita melihat pada suku pertama tahun 2020, harganya akan kekal kukuh. Ia turut disokong dengan pelaksanaan biodiesel B30 di Indonesia dan B20 di Malaysia.
“Saya fikir, program biodiesel akan menyokong permintaan, namun perlu dilihat juga pada harga minyak. Saya lihat harga minyak mentah WTI boleh dikatakan kukuh.
“Itu akan menjadikan permintaan kepada biodiesel akan berada pada tahap yang sihat pada ketika ini,” ujarnya.
Menurut Laporan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), pengeluaran MSM Semenanjung Malaysia pada Disember merosot 20 peratus berbanding November, manakala pengeluaran Sabah dan Sarawak masing-masing susut 10.86 peratus dan 7.36 peratus.
#Astro Awani #biodisesel #ekonomi #Felda #harga sawit #kelapa sawit #Kota Tinggi #MPOA #peneroka #Persatuan Minyak Sawit Malaysia
;