Harga makanan siap dimasak catat penurunan pada Feb, harga sayur meningkat - Rafizi

Fareez Azman
Mac 27, 2023 16:02 MYT
Rafizi bercakap pada sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) di Putrajaya pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan harga makanan siap dimasak di kedai atau restoran di negara ini telah mencatatkan penurunan bagi bulan Februari tahun ini.
Jelasnya, ia merupakan penurunan buat pertama kali susulan beberapa usaha yang terus dijalankan oleh kementeriannya dalam memastikan kenaikan harga makanan siap dimasak dikurangkan.
"Ada berita baik buat (bulan) Februari kita melihat ada penurunan harga makanan siap beli di kedai.
"Memang kami (Kementerian) betul-betul tumpukan harga barangan makanan siap di kedai, kerana kenaikannya jauh lebih tinggi berbanding komponen-komponen lain," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) di Putrajaya pada Isnin.
[TERKINI] Sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP)
Tambah Rafizi, meskipun harga barangan makanan siap menunjukkan penurunan, namun berlaku pula kenaikan harga sayur-sayuran ketika ini.
"Bagi Februari berita baik harga barangan makanan siap buat kali pertama telah menunjukkan penurunan.
"Tetapi penurunan itu diganti pula dengan kenaikan harga sayur-sayuran disebabkan fenomena banjir terutama di Johor," jelasnya lagi.
#Harga Barangan #Rafizi Ramli #Kementerian Ekonomi #IHP
;