Harga makanan ayam tinggi punca harga telur dan ayam meningkat berganda

Hilmi Malik
Disember 30, 2022 23:52 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, faktor makanan yang diimport juga menyebabkan berlaku peningkatan berganda. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kenaikan harga ayam dan telur yang agak tinggi berpunca daripada faktor makanan ayam itu sendiri yang turut mengalami peningkatan yang mendadak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, faktor makanan yang diimport juga menyebabkan berlaku peningkatan berganda.
“Meskipun harga ayam agak stabil tetapi masih belum berada pada tahap memuaskan dan antara puncanya kerana harga makanan ayam itu kerana ianya diimport dan bahan import juga naik berganda.
“Kita cari jalan supaya harganya itu agak seimbang dan kerana itulah kita perkenalkan subsidi kepada ayam dan telur supaya dapat wujudkan harga yang berpatutan,” katanya ketika program Agenda AWANI pada Jumaat malam.
Selain itu, Mohamad turut memberitahu, wujud permasalahan lain seperti kekurangan pekerja mengakibatkan bekalan telur ayam turut mengalami kekurangan.
Jelasnya, kerajaan juga telah mengadakan perbincangan bagi memastikan kemasukan pekerja luar dapat dipermudahkan bagi membantu pengusaha yang terjejas.
“Kabinet dalam minggu lepas telah pun membuat satu keputusan supaya dipermudahkan kemasukan pekerja supaya penternak yang mengadu hal kekurangan pekerja ini dapat kita tampung segera.
“Jika ada pekerja yang mencukupi, penternak boleh keluarkan 500,000 biji telur sehari namun jika sebaliknya, pengeluaran hanya mampu dibuat sekitar 300,000 biji sehari,” katanya lagi.
Mohamad dalam masa sama menyatakan, kementeriannya akan turut menumpukan soal bekalan makanan yang mencukupi selain turut memastikan harga yang berpatutan bagi memanfaatkan rakyat di negara ini.
#Mohamad Sabu #kementerian pertanian #Harga Ayam #harga telur
;