Harga limau mandarin naik sempena Tahun Baru Cina
Astro Awani
Januari 16, 2017 19:39 MYT
Januari 16, 2017 19:39 MYT
Kejatuhan nilai mata wang ringgit dan kekurangan bekalan limau mandarin dari negara China sehingga 30 peratus.
Itu antara faktor harga limau mandarin dijangka meningkat 15 sehingga 20 peratus tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, hasil tinjauan dengan beberapa pemborong limau mandarin di Johor mendapati faktor cuaca yang tidak menentu dan kurang tanaman itu di China mempengaruhi kenaikan harganya.
Walau bagaimanapun katanya bekalan limau mandarin di Johor masih mencukupi.
“Pemborong barangan runcit dan limau adalah mencukupi untuk bekalan Tahun Baru Cina seperti minyak masak, tepung dan limau mandarin.
“Tahun ini harga adalah berbeza kerana beberapa faktor. Salah satunya adalah mata wang Malaysia, kedua adalah kekurangan bekalan 30-50 peratus,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan bekalan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Jelas Tee, bekalan barang asas seperti gula, minyak masak, tepung, telur dan bawang juga mencukupi bagi menyambut Tahun Baru Cina nanti.
Beliau juga berharap agar semua pihak termasuk pemborong, peruncit, peniaga dan pengguna dapat berbelanja dengan berhemah.