Harga lima barangan keperluan asas kekal sekiranya BN terus mentadbir

Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2018 17:52 MYT
Lima barangan itu ialah beras, tepung, gas memasak, minyak masak dan gula. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Kerajaan Barisan Nasional memberi jaminan harga lima barangan keperluan asas tidak akan dinaikkan sekiranya parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, lima barangan itu ialah beras, tepung, gas memasak, minyak masak dan gula.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberitahu harga lima barang ini tidak boleh dinaikkan kerana ini adalah untuk kepentingan rakyat.
“Ini cerita karut (pembangkang) apabila kata harga barang naik. Untuk makluman harga lima barangan ini tidak naik. Kelima-lima barangan keperluan asas ini digunakan seharian, oleh itu kita jaga (pastikan harga tidak naik),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat (JSR) di Felda Lubuk Merbau, dekat sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Hamzah berkata JSR, satu inisiatif yang membantu rakyat menangani kos sara hidup berjaya memberi manfaat kepada 4 juta rakyat di seluruh negara.
Setakat ini pihaknya sudah menganjurkan 700 program JSR sejak dua bulan lalu membabitkan nilai jualan sebanyak RM35 juta.
Malah Hamzah berkata program itu sudah dirancang sejak dua tahun yang lalu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penganjurannya bertujuan untuk memancing undi pada PRU14.
Antara barangan dijual hari ini ialah pek milo pada harga RM10 berbanding RM16 di pasaran, daging lembu yang dijual pada RM10 sekilogram (kg) (RM25 sekilogram di pasaran) dan beras RM10 bagi 10 kilogram (RM26 di pasaran) selain bawang, minyak masak dan gula yang masing-masing dijual pada harga RM1 sekilogram.
#Barisan Nasional #beras #gas memasak #gula #Hamzah Zainuddin #Harga Barangan #isu semasa #keperluan asas #KPDNKK #Malaysia Memilih #minyak masak #tepung
;