Harga lembu korban semakin mahal?

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 8, 2019 18:35 MYT
Permasalahan ini berlaku apabila lembu yang diperolehi dari negara jiran meningkat harganya berbanding tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
Harga mahal dan jualan kian berkurangan.
Itu keluhan pembekal lembu korban dekat Jerlun, Kedah yang terpaksa membayar harga yang tinggi bagi mendapatkan bekalan lembu daripada negara jiran.
Ia bukan disebabkan harga lembu di Thailand itu mahal, sebaliknya, mereka perlu membayar lebih berikutan kemerosotan nilai ringgit, berbanding mata wang Baht Thailand.
Menurut pembekal lembu Mohd Yusri Che Man, 25, permasalahan ini berlaku apabila lembu yang diperolehi dari negara jiran meningkat harganya berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Mohd Yusri, permintaan bagi setiap ekor lembu korban tahun ini turut merosot ekoran pelanggan menghadkan pembelian mereka.
Jika sebelum ini, tempahan dibuat antara tujuh hingga 20 ekor lembu bagi ibadah korban, namun sejak berlaku kenaikan harga, pelanggan hanya membeli sekitar 3 hingga 15 ekor lembu sahaja.
Harga bagi seekor lembu yang dibeli di Thailand sekitar RM4,000 hingga RM5,000, tetapi tahun ini meningkat kepada RM4,500 hingga RM5,800 seekor.
Peningkatan yang berlaku menyebabkan mereka para pembekal terpaksa menaikan harga lembu kepada RM4,760 hingga RM6,000 bergantung pada saiz dan jenis haiwan itu.
"Tahun ini dengan tahun lepas tu beza banyak. Yang pertama adalah harga. Harga modal bagi orang berniaga tahun ini agak meningkat agak banyak. Mungkin meningkat tu berdasarkan (tukaran) duit kita agak jatuh untuk lembu-lembu yang kita import dari Thailand," ujar Mohd Yusri.
Bagi mengelak menaggung kerugian, pembekal terpaksa menaikan harga lembu antara RM200 hingga RM300 seekor sebelum dijual kepada pelanggan.
Kenaikan juga mengambil kira kos operasi ketika membawa keluar lembu dari negara jiran dan harga makanan lembu yang semakin meningkat.
Akibat kenaikan itu, beliau menjangkakan harga runcit daging lembu bagi hari raya kali ini boleh mencecah lebih RM38 sekilogram.
"Modal kita tinggi jadi kita terpaksa kurangkan untung kita. Kedua, kos kita banyak dalam hal ternakan ni, macam makan tanggung. Maksudnya dalam kandang semua saya kena bagi... jerami saya kena beli, dedak saya kena beli. Harga dedak (pula) naik," tambahnya.
Sehingga hari ini, masih terdapat 150 ekor lembu yang belum di tempah pelanggan walaupun hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menunaikan ibadah korban.
#hari raya aidiladha #Ibadah Korban #lembu import #Lembu Korban #pengguna
;