Harga lantai belian beras putih di Sarawak dan Sabah ditetapkan pada RM1,300

Fadilah Sulaiman
Februari 8, 2024 13:58 MYT
Mohamad Sabu memaklumkan Sarawak ketika ini menyumbang hanya 6.5 peratus pengeluaran padi negara namun berpotensi mencapai lebih 10 peratus melalui kaedah pertanian moden. - Astro AWANI
SRI AMAN: Harga lantai belian padi beras putih di Sarawak dan Sabah dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuat kuasa 15 Februari ini, menjadikannya selaras dengan paras harga di Semenanjung.
Mengumumkan perkara tersebut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penetapan harga baharu ini bagi meningkatkan pendapatan pesawah di dua negeri itu sekali gus menggalakkan lebih banyak penghasilan beras untuk mencapai sasaran 80 peratus Tahap Sara Diri (SSR) Beras Negara menjelang tahun 2030 berbanding pencapaian semasa iaitu 62.6 peratus.
“Kita naikkan harga lantai tadi supaya petani ni terus berusaha untuk mendapat hasil yang tinggi dan kalau boleh komitmen sepenuh masa.
“Kita sedang berbincang dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perladangan dan Komoditi, serta KPDN untuk (memikirkan) bagaimana hendak melonjakkan supaya orang terlibat dalam hal padi ini sebagai satu industri pada masa akan datang dengan menggunakan kaedah tradisional yang dimodenkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Kerja KPKM di Jelapang Padi Batang Lupar dekat sini pada Khamis.
Dalam pada itu katanya Sarawak ketika ini menyumbang hanya 6.5 peratus pengeluaran padi negara namun berpotensi mencapai lebih 10 peratus melalui kaedah pertanian moden.
“Perlis sumbang 10 peratus, inshaAllah dalam masa yang singkat Sarawak boleh mengatasi Perlis sebab penggunaan tanah di Perlis sudah maksimum tetapi sini belum.
“Hasil di sini 2.9 tan dan kalau boleh lonjakkan. Sekarang dah ada tempat capai 5 tan boleh lonjak lagi ke 7 hingga 8 tan maka sasaran 10 peratus itu dapat cepat dicapai bagi keperluan beras di Sarawak ini,” katanya lagi.
Dalam lawatan itu beliau juga menyaksikan penyampaian pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat-syarikat peneraju di bawah Program SMART
Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Tanjung Bijat dan Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad bernilai RM810,000 bagi menggiatkan lagi penanaman yang mengaplikasikan teknologi moden.
#Mohamad Sabu #Sabah #Sarawak #beras
;