Harga kebanyakan barang tak patut naik di bawah SST - Kastam

Luqman Hariz
Julai 19, 2018 12:07 MYT
SUBROMANIAM: Jangan salahkan cukai saja atas kenaikan harga barang. - Gambar fail
Tiada sebab untuk harga kebanyakan barang meningkat selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September ini.
Menurut Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, ini kerana kebanyakan barangan akan dikenakan cukai kadar sifar.
“(Naik turun harga) tidak hanya bergantung kepada kadar cukai (yang dikenakan ke atas barang itu), kebanyakan barang cukainya sifarnya. Jadi mengapa harga perlu naik?” soalnya.
Beliau bagaimanapun mengakui, percukaian bukan satu-satunya faktor yang akan menentukan harga barang.
“Cukai hanya satu komponen kecil dalam penentuan harga, banyak faktor-faktor lain di luar kawalan kita.
“Ia bergantung kepada bekalan dan permintaan, dan sama ada harga didorong oleh kos atau oleh permintaan, juga harga minyak dan faktor-faktor luar.
“Jadi, jangan salahkan cukai saja atas kenaikan harga barang,” katanya pada satu sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.
Subromaniam menambah, pada masa yang sama, peniaga juga tidak harus mengambil kesempatan sewaktu fasa peralihan dari GST ke SST.
“Saya juga nak minta kepada para peniaga, jangan ambil kesempatan pelaksanaan sistem cukai SST untuk menaikkan harga," katanya.
Beliau berkata, pihak kastam sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan strategi mengawal harga barangan pasca pelaksanaan SST.
Beliau bagaimanapun yakin, penguatkuasaan efektif akan dapat dicapai dalam memastikan harga barang kekal terkawal.
“Pada awal pelaksanaan GST dahulu, peniaga-peniaga pun kurang faham kerana skop percukaian GST amat luas, jadi banyak masalah pelaksanaan ketika itu,” katanya.
Subromaniam menambah, SST hanya melibatkan pengilang berbanding GST yang melibatkan pengilang, pengedar dan pemborong.
Justeru katanya, sistem SST akan membolehkan pemantauan yang lebih rapat.
“472,000 peniaga sudah ada di dalam sistem GST. Di bawah SST, (peniaga yang terlibat) kurang daripada 100,000, jadi kita akan kenali mereka dengan lebih dekat.
“Ini diharap akan mendorong pematuhan yang lebih baik,” kata Subromaniam.
#bekalan #cukai #GST #harga #harga barang #kadar sifar #kastam #kenaikan #permintaan #SST #Subromaniam Tholasy
;