Harga 'ikan rakyat' di Sekinchan, Sungai Besar jauh lebih murah - Jamal

Sinar Harian
Jun 6, 2022 08:30 MYT
Jamal (kanan) bersama kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Besar meninjau harga ikan di Pasar Awam Sungai Besar pada Ahad. -Foto Sinar Harian
SUNGAI BESAR: Orang ramai terutama penduduk di Lembah Klang yang ingin mendapatkan 'ikan rakyat' digalak berbelanja di Pasar Awam Sungai Besar dan Sekinchan berikutan harganya jauh lebih murah berbanding pasar awam lain di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tinjauan beliau pada Sabtu dan Ahad di pasar awam itu mendapati harga ikan segar masih berpatutan.
Beliau turut memberitahu, ramai pengunjung yang ditemui memaklumkan mereka menetap di Lembah Klang dan datang ke pasar awam itu semata-mata ingin mendapatkan ikan segar pada harga murah.
"Pelanggan yang datang berbelanja ke Pasar Awam Sungai Besar dan Sekinchan biasanya membeli dan menyimpan stok kerana harga yang berpatutan.
"Tidak hairanlah kawasan sekitar Sekinchan dan Sungai Besar sentiasa sesak dengan pengunjung terutama pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan harga ikan dan bertemu peniaga di Pasar Awam Sungai Besar di sini pada Ahad.
Beliau turut memberi contoh harga ikan seperti kembung, cencaru dan sardin dijual antara RM8 sekilogram hingga RM12 sekilogram bergantung kepada saiz.
Tambah Jamal, selain aktiviti pelancongan yang menarik di Sekinchan ini, penduduk boleh berbelanja barangan dapur dan barangan basah pada harga murah.
Justeru, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengadu kononnya harga ikan mahal dan melambung tinggi di dua pasar awam terbabit seperti yang diterima sebelum ini.
"Sebenarnya harga ikan di kedua dua pasar awam ini masih lagi terkawal malah ramai orang luar berbelanja.
"Di sebalik dakwaan harga ikan melambung tinggi, rakyat seharusnya berfikir bagaimana nelayan yang menangkap ikan di laut.
"Kebanyakan ikan ditangkap nelayan tempatan dan terus dijual kepada peniaga di sini," jelasnya.
Ujarnya, kenyataan beliau mengenai harga ikan murah dan munasabah bukan untuk mempertahan peniaga dan kerajaan tetapi ingin menjelaskan keadaan sebenar kepada orang ramai.
"Kita berharap harga ikan ini dapat dikekalkan dan mungkin lebih murah lagi pada masa akan datang.
"Mungkin ramai beritahu harga ikan seperti kembung RM20 sekilogram dan cencaru RM24 sekilogram ini disebabkan mereka membelinya di pasar raya atau pasar raya besar dan itulah nilai terpaksa mereka bayar kerana tidak mahu bau ikan dan bersesak di pasar basah.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#Jamal Md Yunos #Sungai Besar #harga ikan murah #Sekinchan
;