Harga ikan mampu turun sehingga 30 peratus - Salahuddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 30, 2019 13:41 MYT
Salahuddin berkata ia antara usaha kerajaan dalam memastikan harga ikan berada pada tahap berpatutan, terutama bagi golongan B40. -Astro AWANI
Program Sumber Laut Secara Terus dari Pusat Pendaratan ke Pusat Jualan Terpilih mampu menjadi platform terbaik dalam mengekang peranan orang tengah yang didakwa menjadi penyebab harga ikan di negara ini mahal.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata ia antara usaha kerajaan dalam memastikan harga ikan berada pada tahap berpatutan, terutama bagi golongan B40.
“Sebagai contoh, ikan kembung yang biasanya berharga antara RM15 hingga RM16 sekilogram, dijual pada harga RM9.50 hingga RM10 sekilogram, iaitu penurunan kira-kira 30 peratus.”
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sumber Laut Secara Terus dari Pusat Pendaratan ke Pusat Jualan Terpilih di Sungai Buloh pada Ahad.
Program ini adalah hasil kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Usahawan selain beberapa agensi dan syarikat swasta yang lain.
Ia juga merupakan program perintis penubuhan Pusat Baharu Pertumbuhan Ekonomi (CEG) yang menumpukan sosioekonomi bagi kumpulan sasar iaitu B40 di kawasan nelayan.
“Apabila kita dapat memendekkan rantaian bekalan, kita dapati harganya sangat berpatutan.
"Ini adalah antara usaha yang telah sekian lama dilakukan. Contohnya, pendekatan memerangi orang tengah yang cuba ditangani YB Datuk Ismail Sabri pada waktu itu.
"Saya hargai apa yang beliau cuba buat untuk mendepani orang tengah ini, namun kita mendapati isu ini masih lagi berpanjangan,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui usaha ini belum berjaya seratus peratus, namun dengan kombinasi tiga kementerian yang terbabit, ia dilihat satu sinergi yang sangat berkesan.
Beliau menyasarkan pembukaan kira-kira 50 CEG di seluruh negara tahun ini supaya rakyat boleh mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan tanpa merugikan golongan pembekal.
#Cuba #ekonomi #kerajaan #Malaysia #menteri #nelayan #Pakatan Harapan #rakyat #Salahuddin Ayub #usahawan
;