Harga ikan kembung, selar naik sekali ganda
Adie Sufian Zulkefli
Jun 24, 2019 10:41 MYT
Jun 24, 2019 10:41 MYT
Laut bergelora dan angin kencang sejak seminggu lalu menyebabkan bekalan ikan di Pasar Jeti Nelayan Kuala Kedah, berkurangan sehingga mengakibatkan harga meningkat.
Tinjauan Astro AWANI awal pagi Isnin mendapati, ikan selar dan kembung mengalami kekurangan bekalan, sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan harga hampir sekali ganda dari harga biasa.
Malah, turut terkesan ada di antara peniaga terpaksa menghentikan sementara perniagaan ekoran ketiadaan bekalan.
Peniaga, Rajmah Yussof, 55, berkata kekurangan bekalan ikan itu berlaku sejak tiga hari lalu berikutan keadaan laut bergelora dan angin tidak menentu menyebabkan nelayan tidak turun ke laut.
"Ni pun mereka jual habis tinggi RM12 la, ikan baru dari laut dan tak kena ais lagi, sekilo RM12 mereka jual.
"Ikan besar ni tak boleh nak kurang, sebab modal dia tinggi. Saya ambil sekilo sampai RM25, saya jual RM35," katanya ketika ditemui, di sini.
Antara bekalan ialah ikan yang berlaku kekurangan di pasar ialah ikan kembung, ikan selar, ikan kerisi, ikan selayang, sotong serta ketam.
Rajmah berkata, bekalan yang tidak menentu juga menyebabkan harga menjadi tidak menentu.
"Contohnya hari ini, ada yang jual ikan kembung dengan harga RM10 sekilogram berbanding biasa hanya RM5," katanya.
Sementara itu seorang pesara, Mahathir Ahmad, 61, yang merupakan pelanggan tetap berkata, udang dan ketam agak mahal pada keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Katanya, ramai pelanggan faham keadaan cuaca menyebabkan harga udang dan ketam menjadi agak mahal sedikit berbanding sebelum ini.
"Harga ketam ni, dia bermula ikut saiz yang besar, RM30 pun ada, sampai RM50 pun ada," katanya.
Seorang pengunjung dari Selangor pula, Balqis Mahathir, 41, berkata, walaupun cuaca tidak menentu tetapi harga ikan di sini lebih murah berbanding di kawasan Kuala Selangor.
Katanya, ikan kembung di sini boleh dibeli dengan harga RM5 berbanding harga ikan kembung di tempat tinggalnya.
"Paling murah pun harganya RM10, ada ketika boleh mencecah sehingga RM14 hingga RM15 sekilo.
"Kat sini ikan temenung (kembung) kita boleh dapat RM5, kalau kat sana jangan haraplah, paling murah pun setakat ini RM10. Kawasan saya yang sekitar dengan Kuala Selangor, purata harga kat sana sekilo RM10, tetapi boleh sampai RM14 hingga RM15. Di sini memang tak sampai RM10," jelasnya.
#angin kencang
#angin tidak menentu
#harga ikan naik
#ikan kembung
#ikan selar
#laut bergelora
#Mahathir Ahmad
#Pasar Jeti Nelayan Kuala Kedah
#Rajmah Yussof