Harga ikan di Kedah melambung hampir tiga kali ganda

Adie Sufian Zulkefli
Januari 5, 2022 12:50 MYT
Bekalan ikan yang berkurangan menyebabkan peniaga di Pasar Nelayan Kuala Kedah terpaksa mengambil apa juga ikan yang dibawa balik hasil tangkapan nelayan. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu menyebabkan harga ikan di Kedah melambung hampir tiga kali ganda sejak dua minggu lalu.
Ikan temenung atau ikan kembung yang menjadi antara menu harian penduduk didapati dijual antara RM13 hingga RM17 sekilogram berbanding hanya RM5 sekilogram awal bulan lalu.
Malah ikan gelama dan senangin turut melambung dari RM15 hingga RM30 sekilogram.
Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 47, berkata bekalan ikan yang berkurangan menyebabkan peniaga di Pasar Nelayan Kuala Kedah terpaksa mengambil apa juga ikan yang dibawa balik hasil tangkapan nelayan untuk dijual.
Katanya, jualan ikan yang diperolehi setiap hari berkurangan hampir 70 peratus berbanding sebelum ini.
Jelasnya, sebelum ini dia akan menjual ikan temenung kira-kira 500 kilogram (kg) sehari, tetapi sejak dua minggu lalu, dia hanya jual antara 100 hingga 200 kilogram sahaja sehari namun dua hari ini ikan temenung tiada langsung.
"Memang tak ada, kalau ada pun sikit sahaja daripada asal. Kalau sebelum ini ikan sekilo RM5 atau RM6, sekarang sudah cecah belasan ringgit.
"Kalau ada ikan, kami jual, kalau tak ada, tak jual," katanya.
Seorang lagi peniaga Normi Abdul Ghoni, 49, berkata bekalan ikan yang diterima berubah harga setiap hari.
Katanya, sebelum ini dia pernah jual sehingga RM17 sekilogram, namun dia hanya memperoleh untung tipis.
Jelasnya, ramai pelanggan merungut, namun mereka tetap beli, cuma kuantitinya sedikit berbanding kebiasaan.
Normi, menyifatkan bekalan ikan pada musim tengkujuh kali ini adalah yang paling rendah sejak mula berniaga di pasar itu 18 tahun lalu.
Bagi pelanggan, Abdullah Abdul Halim, 45, dia hanya membeli ikan cukup untuk makan sehari berikutan kenaikan harga ikan yang tidak menentu.
Katanya, dengan harga ikan sekarang dia tidak mampu untuk membeli banyak.
"Bila cuaca macam ini, dengan ribut taufan apa, memang terbebanlah.
"Sebelum ini kita beli sini dalam 3 kilo RM10 sahaja. Sekarang berbelas ringgit. Nak cari ikan temenung pun susah nak dapat," katanya.
Sementara itu, nelayan di Kuala Kedah, Farid Osman, 45, berkata dia hanya dapat keluar menangkap ikan di laut dua kali dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini berikutan keadaan cuaca tidak elok ketika ini.
Katanya, walaupun harga hasil laut sedang tinggi ketika ini, namun hasil tangkapan tidak berbaloi jika dikira dengan kos minyak dan pekerja.
"Banyak ini sahaja, yang lain tak ada. Ikan temenung sahaja yang ada.
"Pertengahan bulan tiga nanti baru ada ikan balik. Kalau musim ini memang ikan mahal," katanya.
Turut berlaku kenaikan udang gred A kini mencecah RM65 sekilogram berbanding hanya RM50 sekilogram sebelum ini serta sotong gred A kini dijual RM30 berbanding RM14 sekilogram.
#ikan mahal #musim tengkujuh #ikan kembung #ikan gelama
;