Harga hartanah stabil walaupun pandemik - Propertyguru

Bernama
Oktober 2, 2020 19:53 MYT
Kestabilan pasaran hartanah semasa boleh dikaitkan dengan langkah-langkah kerajaan yang amat bertepatan seperti memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesan pandemik COVID-19 ke atas harga hartanah adalah agak minimum, mencerminkan kemungkinan pemulihan yang lebih cepat daripada jangkaan sebelum ini dalam pasaran hartanah, kata portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia.
Pengurus Negara, Sheldon Fernandez dalam satu kenyataan berkata, kestabilan pasaran hartanah semasa boleh dikaitkan dengan langkah-langkah kerajaan yang amat bertepatan seperti memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah termasuk menyemak kadar faedah berikutan pemotongan Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia.
"Apa yang paling ketara ialah pergerakan harga hartanah telah menjadi relatif minimum kepada unjuran. Sebagai contoh, Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) merosot 9.4 peratus pada 1998, berbanding keuntungan 0.4 peratus pada suku kedua tahun ini," katanya.
Trend lain termasuk peningkatan minat di kawasan tengah Lembah Klang, dengan Bukit Jalil, Damansara dan Kepong sebagai tumpuan utama serta pertumbuhan dari bulan ke bulan yang kukuh dalam carian dalam talian untuk hartanah yang berpatutan dan pertengahan.
Menurut Fernandez, sentimen yang sihat juga dilihat dalam jualan yang kukuh bagi projek-projek yang memenuhi permintaan pasaran tetapi beliau mengingatkan bahawa prospek pertumbuhan ini mungkin tergugat disebabkan potensi gelombang kedua kluster COVID-19 di seluruh negara berikutan kemunculan semula wabak itu di Sabah. - BERNAMA
#harga hartanah #pandemik #COVID19 #PropertyGuru Malaysia #Indeks Harga Rumah Malaysia #pasaran hartanah #kadar dasar semalaman #Bank Negara Malaysia
;