Harga eksport, import Malaysia meningkat pada Disember 2024 - Jabatan Perangkaan
Bernama
Januari 28, 2025 22:00 MYT
Januari 28, 2025 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Harga eksport Malaysia pada Disember 2024 meningkat 1.1 peratus kepada 150.7 mata berbanding 149.1 mata dalam bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.
Selain itu, harga import naik 0.9 peratus daripada 126.9 mata kepada 128.0 mata disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian dan komoditi berasaskan minyak.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+8.3 peratus), minyak galian (+0.7 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.5 peratus).
"Pada masa sama, indeks volum eksport turut naik 8.5 peratus, selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+13.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+12.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+11.6 peratus).
"Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 3.1 peratus daripada 159.0 mata kepada 163.9 mata. Merujuk perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 1.8 peratus dan 14.8 peratus," katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Malaysia bagi Disember 2024, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata Indeks nilai seunit import naik 0.9 peratus pada Disember 2024, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+4.1 peratus), makanan (+0.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4 peratus).
Pada masa sama, kata Jabatan Perangkaan, indeks volum import melonjak 6.3 peratus pada Disember 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+10.4 peratus), bahan kimia (+7.2 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+6.0 peratus.
Indeks volum import pelarasan bermusim juga naik 1.0 peratus daripada 199.4 mata kepada 201.4 mata.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 0.5 peratus dan indeks volum bertambah 12.5 peratus.
Menurut jabatan itu, terma perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 117.7 mata pada Disember 2024, didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+5.3 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+3.3 peratus) selain alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.4 peratus).
Dalam pada itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun pula menokok 2.4 peratus daripada 115.0 mata pada Disember 2023.
-- BERNAMA