Harga diesel turun 5 sen mulai esok
Astro Awani
Ogos 7, 2024 19:02 MYT
Ogos 7, 2024 19:02 MYT
KUALA LUMPUR: Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 5 sen kepada RM3.30 seliter bermula esok sehingga 14 Ogos.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah ini seiring dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini.
"Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter," katanya.
Ini adalah kali pertama harga diesel di Semenanjung diturunkan selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan bakar itu, yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.
MOF berkata, harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing dikekalkan pada paras RM3.47 serta RM2.05 seliter pada tempoh sama.
"Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.
Harga minyak dunia menjunam minggu lalu apabila kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mula memuncak dan sebelumnya para pelabur menjual pegangan petroleum mereka.
Dagangan minggu ini pula menyaksikan harga mintak jatuh sehingga serendah AS$75 pada Isnin, terendah sejak Disember 2023, sebelum melantun semula pada hari berikutnya.