Harga diesel di Semenanjung turun kepada RM3.23 seliter, petrol kekal

Bernama
Ogos 21, 2024 19:10 MYT
Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit diesel itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan dua sen kepada RM3.23 seliter bagi tempoh 22 hingga 28 Ogos ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit diesel itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga," menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit petrol RON97 dan RON95, masing-masing kekal pada paras RM3.47 dan RM2.05 seliter.
Kenyataan itu menyebut kadar berkenaan ditetapkan berdasarkan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.
-- BERNAMA
#harga diesel #harga turun #harga petrol #subsidi diesel