Harga daging korban melonjak, KPDNKK tiada kuasa kawal harga

Vivi Sumanti
Ogos 26, 2017 16:39 MYT
Harga sebahagian daging dikatakan mahal berbanding tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga lembu dan kambing yang kebanyakkannya diimport masuk menjelang perayaan Aidiladha.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, harga lembu dan kambing yang dibawa masuk dari negara pengimport sudah tinggi menyebabkan kementeriannya tidak dapat menetapkan suatu harga yang munasabah.
Ini kerana semua pihak yang terlibat dalam membawa masuk kambing dan lembu import juga tidak mahu menanggung kerugian untuk menjual dengan harga yang rendah dalam pasaran negara.
“Kita melakukan ibadat korban, saya rasa harga yang dibawa masuk begitu. Takkan kita nak suruh dia rugi pula, kita nak beri semua rasa selesa harganya juga dibawa masuk tinggi.
"Macam mana nak kawal kerana yang bawa masuk ikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya selepas menghadiri majlis perasmian Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di sini siang tadi.
Hamzah menjelaskan lembu dan kambing import dari negara seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan sebagainya sudah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Lembu korban di Kelantan dianggarkan sekitar RM4,500 hingga hampir RM6,000 ringgit seekor bergantung saiz dan jenis lembu menjadikan nilai antara RM650 hingga RM750 bagi satu bahagian lembu ibadat korban.
Harga tersebut dikatakan mahal berbanding tahun sebelumnya sekitar RM450 hingga RM550 bagi satu bahagian dari tujuh bahagian lembu korban.
#daging #Hamzah Zainuddin #kambing #KPDNKK #lembu
;