Harga daging di Pekan Pauh, Perlis lepasi harga kawalan

Bernama
Ogos 7, 2013 16:43 MYT
Harga daging di Pekan Pauh dekat sini dikesan dijual melepasi harga kawalan menjelang hari raya apabila terdapat peniaga yang menjual pada harga antara RM25 dan RM27 sekilogram.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Sabry Ahmad berkata walaupun kerajaan telah menetapkan harga kawalan tidak melebihi RM24 sekilogram, namun mereka tidak mematuhinya.
Beliau yang mengetuai pemantauan harga barang menjelang Aidil Fitri di Pekan Pauh hari ini terkejut dengan sikap peniaga terbabit yang memberikan alasan tidak munasabah untuk menaikkan harga daging. Bagaimanapun tinjauannya di Pasar Besar Kangar dan Pasar Titi Chai mendapati harga daging yang ditawarkan mematuhi harga kawalan.
Sabry berkata selain daging, seorang peniaga ayam di Pekan Pauh juga didapati gagal mematuhi harga kawalan RM7.70 sekilogram apabila menjual ayam yang telah dilayur dengan harga RM8 sekilogram. Selain itu peniaga terbabit juga melakukan kesalahan dengan menimbang ayam standard tanpa terlebih dahulu membersihkan organ di dalamnya.
Menurutnya anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengeluarkan lapan saman kepada para peniaga di Pekan Pauh dan mengenakan kompaun antara RM100 dan RM200 mengikut jenis kesalahan.
Sabry berkata enam peniaga daging diberikan saman RM100 seorang, peniaga ayam sebanyak RM200 dan seorang peniaga sayur dikenakan kompaun RM100 kerana gagal mempamerkan tanda harga.
#daging lembu #harga kawalan
;