Harga cili, bawang merah kembali stabil - Rosol
Bernama
Februari 7, 2021 16:37 MYT
Februari 7, 2021 16:37 MYT
KUALA TERENGGANU: Harga cili dan bawang merah yang sebelum ini melambung tinggi di pasaran, didapati mengalami penurunan ketara dan kembali stabil sejak minggu lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan kemasukan bekalan barangan tersebut dari India dan Pakistan, yang sebelum ini terhenti seketika akibat banjir.
"Isu harga bawang merah dan cili merah sudah tidak timbul kerana import bekalan dari India dan Pakistan sudah boleh masuk, sebelum ini di sana banjir.
"Kita dapati penurunan harga (bawang dan cili) melebihi 10 peratus, kerana bekalan sudah mula stabil di pasaran," katanya kepada media selepas melawat keluarga pelajar pintar yang daif Muhammad Mu'az Zhofri, 13, di Kampung Losong, di sini hari ini.
Tambah Rosol lagi, KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan harga dan bekalan secara berterusan melalui 2,300 anggota penguatkuasanya, di seluruh negara.
Beliau berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga dan bekalan yang akan membebankan para pengguna.
-- BERNAMA