Harga borong kit ujian pantas antigen RM16, harga runcit RM19.90 - KPDNHEP
Afiezy Azaman
September 2, 2021 12:25 MYT
September 2, 2021 12:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.
Harga siling itu berkuat kuasa 5 Sept ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penentuan harga itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Ia bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
"Penentuan harga dibuat berdasarkan maklumat harga daripada pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.
"Begitu juga, maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, permintaan terhadap kit ujian kendiri tersebut dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas dari wabak.
"KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang," tambahnya.
Beliau menjelaskan, RTK Antigen yang akan dikawal harga merupakan peranti yang dilulus secara bersyarat oleh MDA KKM bagi pengesanan COVID-19, menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung.
Alexander berkata, kerajaan prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat ketika ini dan menyokong usaha ke arah menangani wabak COVID-19.
Beliau turut memberi amaran, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.
"Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan," tambahnya.
Perkara sama mengenai harga siling RTK Antigen itu turut dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui akaun Twitter beliau.