Harga beras tempatan stabil, tidak naik seperti didakwa - Chan

Bernama
Jun 28, 2023 15:22 MYT
Timbalan Menteri Petanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin melakukan Operasi Beras Putih (OP BP) di sebuah pasar raya hari ini. - Foto BERNAMA
KAJANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan bahawa harga beras putih tempatan tidak mengalami sebarang kenaikan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan pengguna.
Timbalan Menteri berkenaan Chan Foong Hin berkata ia kerana harga kawalan maksimum beras putih tempatan di peringkat pengguna masih pada kadar RM2.60 sekilogram (kg) sepertimana yang termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
"Kita juga telah mengambil tindakan awal (langkah intervensi) dengan membuat penetapan harga kawalan maksimum jualan beras putih tempatan di peringkat kilang iaitu pada RM2,250 satu tan metrik dan pemborong sebanyak RM2,540 satu tan metrik sejak dua minggu lepas.
"Tujuannya adalah memastikan supaya kilang-kilang tidak bersaing untuk mendapatkan bahan mentah dengan menawarkan harga yang lebih tinggi supaya rantaian di bawah (pemborong, peruncit dan pengguna) tidak terkesan dan seterusnya memastikan agar terdapat bekalan yang stabil dengan harga yang berpatutan dan langkah intervensi ini bersifat sementara," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan Operasi Beras Putih (OP BP) bagi meninjau harga dan bekalan beras bersama penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di kilang dan pasar raya di sini hari ini.
Terdahulu, terdapat laporan media bahawa harga bagi beras super spe-sial tempatan dan super spe-sial import naik antara 10 hingga 15 peratus.
Berkenaan beras putih import, Chan berkata harga bagi barangan berkenaan tidak dikawal oleh kerajaan dan ia bergantung kepada harga pasaran.
"Berdasarkan pemantauan, kami dapati sekarang harga pasaran beras putih import yang ditawarkan di peringkat runcit bagi kampit 10kg adalah antara RM28 ke RM32, namun kita boleh lihat pada hari ini harga yang ditawarkan adalah lebih rendah daripada harga yang disyorkan pada kampit beras itu.
"Oleh itu, saya harap tiada pihak yang memainkan isu ini untuk menjadikan perkara ini sebagai satu polemik dalam negara," katanya.
Beliau berkata usaha menangani penghasilan padi tempatan yang berkurang disebabkan faktor cuaca adalah melalui import dan kerajaan akan cuba sedaya upaya memastikan ada persaingan di pasaran supaya harga beras import tidak melonjak ke tahap yang membebankan pengguna.
"Pihak Padiberas Nasional Bhd (Bernas) juga telah mengambil inisiatif membuat pembelian tambahan sebanyak 30 peratus untuk beras putih import bagi menampung permintaan pemborong yang meningkat sejak beberapa bulan lalu," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood berkata mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya membabitkan beras tempatan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika pemeriksaan mendapati telah berlaku kesalahan tersebut.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #harga beras #tiada kenaikan #chan foong hin
;