Harga beras tempatan masih terkawal, bekalan mencukupi - Mat Sabu
Irwan Muhammad Zain
September 7, 2023 15:47 MYT
September 7, 2023 15:47 MYT
SERDANG: Di sebalik dakwaan kenaikan harga beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan harga beras tempatan masih terkawal di pasaran ketika ini.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu, bekalan beras masih mencukupi dan terkawal sehingga kini.
Menurut beliau, masyarakat tidak perlu bimbang dengan perkara ini kerana pihaknya akan memastikan bekalan beras mencukupi.
"Yang pentingnya harga barang tempatan tidak naik kekal dengan RM26 sekampit ataupun RM2.60 sekilo,
beras import masih terkawal.
"Insya-Allah terkawal dan mencukupi," katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri dan Pihak Berkepentingan Di Bawah Sektor Padi dan Beras di Mardi, di sini, pada Khamis.
Mengulas sesi dialog tersebut, Mohamad menjelaskan, isu subsidi dan sistem pengairan yang sempurna telah dibangkitkan oleh peserta yang hadir pada sesi tersebut.
"Maka mereka menuntut supaya kalau nak nak naikkan hasil padi pengairan mesti sempurna dan kerajaan kena mengawal terutama harga racun dan baja," katanya lagi.
Jelas beliau, ini kerana peserta dialog berpendapat dua isu perlu diberi perhatian dan ditangani sekiranya kerajaan mahu jumlah pengeluaran beras putih tempatan ditingkatkan pada masa depan.
#Mohamad Sabu
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#bekalan beras
#beras tempatan
#harga beras