Harga Beras Putih Madani dimuktamad petang ini - PM

Hasimi Muhamad
Februari 23, 2024 12:32 MYT
Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk penetapan harga jualan sumber makanan ruji berkenaan. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung status kategori tunggal beras putih bagi menggantikan pengkelasan sedia ada dijangka dimuktamadkan petang ini.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk penetapan harga jualan sumber makanan ruji berkenaan.
Beliau menambah pengumuman mengenai harga, khususnya beras, seharusnya dibuat oleh kerajaan, bagaimanapun tidak salah jika pihak berkaitan mengemukakan cadangan.
"(Beras Putih Malaysia Madani) akan dibincangkan petang ini, tetapi janganlah soal mengenai isu beras sahaja kerana inisiatif ketika ini turut membabitkan penjualan barangan lain seperti ikan, ayam daging dan sayur pada harga lebih murah.
“Tetapi jika ada cadangan (harga) itu boleh, sebab negara kita demokrasi dan ia boleh dilakukan.
"Namun, (harga beras diumumkan sebelum ini) bukanlah keputusan kerajaan. Kerajaan akan buat keputusan petang ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia.
Sebelum ini Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram sekampit dan dijangka berada di pasaran mulai 1 Mac.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan belum ada ketetapan berhubung cadangan tersebut.
Sementara pada 19 Februari lalu, Perdana Menteri berkata cadangan Beras Putih Malaysia Madani boleh menyekat campur tangan kartel dalam industri itu.
Anwar bagaimanapun menjelaskan, belum ada sebarang keputusan berhubung pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani.
#Anwar Ibrahim #Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara #NACCOL #penetapan harga jualan
;