Harga beras putih import turun RM2-RM3 bermula esok
Astro Awani
Mac 19, 2024 19:25 MYT
Mac 19, 2024 19:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju supaya harga jualan runcit beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang.
"Keputusan ini telah dimuktamadkan melalui Mesyuarat NACCOL hari ini.
"Keputusan ini bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh BERNAS pada 1 September 2023.
Katanya, bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, Kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
"Justeru, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara. Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program.
"Kerajaan turut bersetuju agar semua Kontrak Kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI. Sehubungan itu, melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April 2024," katanya.
Beliau berkata, kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran.
Katanya, KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
"Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," katanya.