Harga beras: PM arah NACCOL muktamadkan hasil libat urus sebelum dibawa ke Kabinet
Umavathi Ramayah
Februari 23, 2024 22:02 MYT
Februari 23, 2024 22:02 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya hasil perbincangan libat urus pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai penetapan harga beras putih, yang bersidang pada Jumaat supaya dibentang dan dimuktamadkan pada mesyuarat seterusnya pada 20 Mac depan sebelum diangkat untuk pertimbangan Kabinet.
Perdana Menteri berkata, dalam tempoh itu beliau meminta agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, jadual pelaksanaan berhubung jualan murah dihebahkan secara kerap.
Katanya, libat urus itu perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
"Selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Pada masa sama, Anwar berkata, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut menyatakan persetujuan untuk mempertimbangkan semula penawaran harga beras putih import (BPI) dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah.
"Ia sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan," jelasnya.
Anwar berkata, beliau turut mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia MADANI.
Ujarnya, pada masa sama, beberapa wakil industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ternasuk yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.
"Saya turut menyinggung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan beras putih tempatan (BPT) dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi," katanya.
Menurutnya, meskipun bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, namun beliau masih lagi menerima aduan berhubung isu bekalan BPT yang terhad.
"Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.
"Saya tegaskan betapa campur tangan kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran.
"Saya tegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari lalu," ujarnya.