Harga bendi, kacang buncis di Kedah makin naik
Astro Awani
Januari 17, 2015 23:00 MYT
Januari 17, 2015 23:00 MYT
Sudah seminggu kedengaran rungutan pengguna dan peniaga di Kedah terhadap kenaikan harga sayur-sayuran seperti bayam, cili dan juga tomato.
Kini kedengaran lagi rungutan berkaitan terdapat kenaikan harga barangan keperluan itu, namun kali ini kacang bendi dan kacang buncis pula berlaku peningkatan harga.
Pada minggu lepas, kacang bendi dijual pada harga RM9 sekilogram tetapi meningkat kepada RM10 sekilogram pada minggu ini, manakala harga kacang buncis yang sebelum ini dijual pada harga RM10 meningkat kepada RM13 sekilogram.
Menurut peniaga, mereka terpaksa menjual pada harga tersebut disebabkan harga yang diperoleh daripada pemborong sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram bagi kacang bendi dan RM10 hingga RM11 bagi kacang buncis.
Pemborong memberi alasan kekurangan bekalan sayur tersebut dan kos penghantaran sayur dari Cameron Highlands antara punca yang menyebabkan harga barangan itu meningkat sejak beberapa minggu lepas berbanding sebelum ini yang dijual sekitar RM hingga RM7.
"Bendi kurang sangat sekarang, dulu banyak jadi dapat murah tetapi sekarang ia makin kurang, kalau RM10 untuk bendi itu agak mahal," kata M. Saruja, seorang peniaga sayur di Alor Setar.
Seorang lagi peniaga, Hafizah Zakaria berkata faktor kenaikan harga bendi adalah disebabkan sayur tersebut semakin berkurangan di pasaran.
Manakala bagi pengguna pula, mereka terpaksa menerima kenaikan harga dua sayuran tersebut walaupun harga yang ditetapkan oleh peniaga agak mahal berbanding sebelum ini sekitar RM4 hingga RM7 sekilogram.
"Sekilo dulu dalam RM5 ke RM6 macam tu. Harga sekarang makin naik," kata Mohd Izwan Abd Rahman.
Sebaik menerima laporan, sekumpulan penguatkuasa dari pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah bertindak melakukan pemeriksaan di pasar besar Alor Setar.
Dalam pemeriksaan tersebut, KPDNKK Kedah berjaya mengesan berlaku kenaikan harga dua jenis sayur iaitu kacang bendi dan kacang buncis dan hasil temubual pihaknya dengan beberapa peniaga mendapati kenaikan harga sayuran tersebut disebabkan peningkatan kos dari Cameron Highlands.