Harga bawang: KPDN akui harga naik, usaha stabilkan harga dilakukan
Madiha Abdullah
Januari 9, 2024 21:46 MYT
Januari 9, 2024 21:46 MYT
PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui berlaku kenaikan harga bawang dari India susulan sekatan eksport dikenakan negara itu ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan India menyekat eksport bawangnya sehingga 31 Mac ini disebabkan sedang berdepan pilihan raya, selain mahu memastikan bekalan domestik mereka mencukupi.
Bagaimanapun, Armizan memaklumkan pihaknya sudah pun berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mencari alternatif meningkatkan bekalan bawang di negara ini.
"Tanggungjawab kita ialah pemantauan dan penguatkuasaan. Kita dapati ada peningkatan harga bawang, kita sudah pun memaklumkan kepada Kementerian Pertanian.
"Mereka juga sudah ambil langkah untuk menstabilkan bekalan dengan meningkatkan import dari negara lain, bagi membantu menstabilkan harga bawang di pasaran tempatan," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics bagi pelaksanaan projek perintis di Pelabuhan Klang, pada Selasa.
Tambah Armizan, situasi itu berlaku kerana situasi semasa di India dan ia berada di luar kawalan kerajaan.
“Kenaikan itu bukan berlaku masa ini sahaja (malah sebelum ini) susulan bergantung kepada pasaran terbuka dengan sistem sedia ada (menyebabkan) kita bergantung kepada barang luar, jadi polisi negara tertentu kita tak boleh kawal," ujarnya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini berkata, Kerajaan akan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.
Jelasnya, langkah itu tidak akan menyebabkan perubahan ketara kepada harga runcit bawang.