Harga bawang India paling tinggi dicatat di Pulau Pinang, RM24 sekilo
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 9, 2020 18:32 MYT
Januari 9, 2020 18:32 MYT
Harga bawang India paling tinggi direkodkan di Pulau Pinang dengan RM24 sekilogram berbanding di negeri lain di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan pemantauan, julat harga bawang di negeri itu adalah dari RM4.90 paling rendah dan RM24 paling tinggi.
"Jadi di Pulau Pinang, ini laporan terakhir yang saya terima sebelum saya datang sini daripada pegawai saya iaitu Majlis Harga Barang Negara, julat harga bawang di Pulau Pinang yang paling murah adalah RM4.90 dan yang paling tinggi ialah RM24.
"Itu yang paling tinggi dan julat harga ini adalah yang tertinggi di Malaysia," katanya dalam sidang media selepas merasmikan TF Valuemart di Balik Pulau, pada Khamis.
Sehubungan itu Saifuddin berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada premis yang menjual bawang pada harga tersebut di bawah undang-undang kawalan harga dan pencatutan.
Pada masa yang sama, katanya kementerian itu sedang menyiasat punca kenaikan harga bawang di Pulau Pinang yang melonjak sehingga RM24 sekilogram.
Menurutnya, di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga 2011, peruncit dan pemborong perlu mendedahkan dari mana sumber bekalan diperolehi termasuk harga kos.
"Di bawah Akta Kawalan Harga 2011 saya telah meminta penguatkuasa mengeluarkan notis yang menghendaki peruncit dedahkan dari mana mereka dapat dari pengedar dan berapa harga, serta pengedar dapat dari mana. (Jika) borong, berapa harga borong, pemborong dapat dari mana, (jika) pengimport, berapa harga import," katnya.
Saifuddin berkata, julat harga bawang yang berbeza itu mesti mempunyai penjelasan.
Justeru, notis tidak hanya diberikan kepada peruncit yang menjual dengan harga RM24 sekilogram tetapi juga kepada peruncit yang menjual dengan harga RM4.90 sekilogram.
Dalam pada itu, beliau berkata bekalan bawang di dalam negara adalah mencukupi walaupun pengeksport utama negara iaitu India telah menghentikan eskportnya.
"Bekalan adalah mencukupi. Permintaan terhadap bawang India itu sangat tinggi,maksudnya walaupun ada alternatif lain, pengguna kita sangat selektif. Jadi bila bawang India itu semakin kurang, maka harganya meningkat," katanya lagi.
#bawang India
#harga bawang
#KPDNHEP
#Majlis Harga Barang Negara
#Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
#pulau pinang
#Saifuddin Nasution Ismail