Harga barang tidak akan turun, bantu rakyat dengan naikkan gaji - Penganalisis politik
Faida Rahim
Februari 9, 2023 07:50 MYT
Februari 9, 2023 07:50 MYT
KUALA LUMPUR: Usah hanya melihat kepada cara menurunkan harga barang, sebaliknya naikkan pendapatan rakyat setara dengan kenaikan kos makanan, perubatan, dan pendidikan.
Demikian kata Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia Chris Daniel Wong yang berpendapat kerajaan perlu melihat perkara ini demi mengurangkan beban rakyat.
"Kita asyik lihat bagaimana untuk menurunkan harga barang. Kita kena tahu bahawa harga barang tidak akan turun kerana ada faktor lain yang membuatkan harga barang naik.
"Pertama sekali faktor kos pekerja. Apabila gaji minimum dilaksanakan maka kos pekerja naik.
"Kos elektrik kita naik, jadi apabila kos elektrik naik, kos lain juga akan naik seperti kos pengangkutan dan sebagainya.
Sementara itu Chris berkata kerajaan perlu mengembalikan pelan 'knowledge economy' yang pernah dilaksanakan dahulu demi mengurangkan beban rakyat.
"Paksi lain ialah kita harus lihat selain meningkatkan pendapatan rakyat.
"Kalau kita lihat 15 ke 20 tahun lampau, kita ada satu pelan 'knowledge economy' iaitu bagaimana kita boleh meningkatkan kemampuan daya saing negara dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat," katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, selain kos makanan atau bahan mentah makanan, kos pendidikan dan juga perubatan juga perlu menjadi fokus seterusnya.
"Pada masa sekarang ini kita berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana melihat dulu kepada kos makanan atau bahan mentah makanan.
"Yang seterusnya kita perlu lihat kepada kos pendidikan dan juga kos perubatan di mana makin hari makin melambung dan tidak terkawal.
"Jadi kita kena pantau semula kos pendidikan dan kos perubatan yang melambung tinggi," katanya.