Harga barang, inflasi meningkat selepas GST - Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan

Astro Awani
Jun 17, 2014 00:02 MYT
Harga barangan secara umumnya akan meningkat selepas pelaksanaan GST, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah. -gambar hiasan
Harga barangan secara umumnya akan meningkat selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
"Secara keseluruhannya akan ada sedikit peningkatan harga sekiranya kita lihat dari segi purata," katanya.
Beliau menambah inflasi juga dijangka akan naik di negara ini sama seperti pengalaman negara-negara lain seperti Singapura dan Australia.
"Akan ada peningkatan sedikit (tetapi) ia akan reda dalam masa lebih kurang setahun," katanya kepada wartawan selepas majlis dialog media bersama pegawai kanan kerajaan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013, Selasa.
Menurut Mohd. Irwan, kenaikan harga yang dijangka berlaku itu boleh ditangani dengan penguatkuasaan yang tegas.
"Inilah yang kita bimbang. Kita tidak mahu spekulator, peruncit ambil kesempatan dan mengenakan GST atas barangan tertentu yang tidak sepatutnya. Kita akan dakwa mereka di mahkamah," katanya.
Mengenai cadangan mengecualikan petrol daripada dikenakan GST, Mohd. Irwan berkata kerajaan masih menimbangkan perkara itu.
"Kita masih mengkaji. Kita akan keluarkan senarai barangan yang diberi pengecualian dan kita akan buat keputusan mengenai minyak. Kita akan selaraskan subsidi dan kita akan lihat kesannya. Kita masih ada sehingga 1 April tahun depan untuk buat keputusan. Kita masih ada masa," katanya.
Mohd. Irwan mengulangi bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang baik untuk negara biarpun ada pihak yang mengkritiknya, yang beliau sifatkan terpengaruh dengan dakyah.
"Seluruh dunia kata bagus. Sektor swasta, perakaunan dan cukai (kata baik). Agensi penarafan seperti Futch malah kata sekiranya kita laksanakan GST ada kemungkinan ia akan naikkan taraf kita," ujarnya.
GST yang diketengahkan sejak 2005 mencetuskan kontroversi sejak awal. Kerajaan dan pakar ekonomi berkata cukai konsumsi yang luas itu berkesan dan satu mekanisme penting untuk membantu memulihkan ekonomi negara.
Pembangkang bagaimanapun menunggang kebimbangan umum terhadap cukai baru itu dengan menggelarkannya sebagai "regresif" dan beban kepada golongan miskin. Kerajaan sebaliknya menegaskan cukai itu bersifat progresif.
Pada 1 Mei lepas, tunjuk perasaan anti GST yang diadakan di Kuala Lumpur disertai oleh ribuan rakyat.
Kerajaan telah menggerakkan kempen agresif untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai cukai baru itu yang sehingga ini diakui oleh ramai pakar sebagai masih belum difahami.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memberitahu Parlimen baru-baru ini bahawa GST akan dikenakan ke atas 689 barangan -- dengan 73 daripadanya akan mengalami kenaikan harga, manakala harga bagi 287 barangan akan turun dan 329 barangan lagi tidak berubah harga.
Senarai yang lebih lengkap dijangka akan dikeluarkan pada Januari depan sebagai panduan kepada pengguna untuk membuat anggaran perubahan harga selepas pelaksanaan GST.
Malaysia adalah antara tiga negara terakhir di rantau ASEAN yang belum melaksanakan sistem percukaian GST selain Myanmar dan Brunei.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa sistem cukai itu penting untuk mengurangkan defisit negara.
#GST #Laporan Ketua Audit Negara 2013 #Mohd. Irwan Serigar Abdullah
;