Harga baja, racun naik, kerajaan berusaha cari penyelesaian terbaik
Bernama
November 28, 2021 18:45 MYT
November 28, 2021 18:45 MYT
BELURAN: Kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi membantu peladang dan petani yang terjejas dengan kenaikan harga baja dan racun, kata menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee.
Katanya, sebagai respons awal, kerajaan telah memperuntukkan RM232 juta, termasuk menaikkan bantuan subsidi racun untuk pesawah daripada RM200 kepada RM300 sehektar untuk semusim.
"Tentu sekali ini tidak menyelesaikan isu kenaikan harga racun dan juga baja. Jadi, kerajaan berusaha untuk mengambil langkah meringankan beban pengusaha pertanian kita.
Apa yang kita hadapi sekarang suasana begitu mencabar kerana kenaikan harga komponen baja dan racun serta komponen makanan ternakan haiwan yang juga dihadapi oleh masyarakat dunia disebabkan oleh gangguan dalam pengeluaran bahan-bahan ini di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah (CKS) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini hari ini.
Ronald mengakui peningkatan kos bahan-bahan berkenaan juga telah mempengaruhi harga sayuran di pasaran.
Pada Khamis (25 Nov) lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan respons awal itu dan juga telah mengarahkan MAFI, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk merangka dan memformulasi langkah-langkah mitigasi untuk menangani isu berkenaan.
Mengenai program SESB itu, Ronald memuji syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Walaupun kerajaan melalui pelbagai program menyalurkan bantuan untuk rakyat dalam tempoh pandemik ini, tentu sekali syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh turut sama dalam usaha kerajaan ini kerana masih ramai yang memerlukan, khususnya di luar bandar," katanya.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Idris Mohd Noor berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sebagai tanda prihatin SESB terhadap rakyat yang memerlukan, terutama ketika menghadapi pandemik.
Katanya, menerusi program CKS, seramai 200 murid di Beluran dipilih menerima bantuan berbentuk beg sekolah, buku dan alat tulis, kamus dan wang saku sebanyak RM50 seorang.
"Kami juga ada membantu sektor pendidikan dengan mengambil beberapa sekolah angkat, di mana di Sabah pada tahun ini, ada empat atau lima sekolah angkat yang diberikan bantuan sekali beri sebanyak RM34,000 untuk penyediaan ruang pembelajaran yang lebih kondusif," katanya.
-- BERNAMA