Harga baharu petrol dan diesel berkuatkuasa tengah malam ini

Bernama
Februari 28, 2015 15:28 MYT
Harga runcit baharu petrol dan diesel bagi Mac akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Harga runcit baharu petrol dan diesel bagi Mac akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan sama ada harga baharu petrol dan diesel yang bakal diumumkan nanti meningkat ataupun sebaliknya.
Hasan juga berkata pihaknya akan meneruskan kempen penurunan harga di seluruh negara meskipun berlakunya perubahan terhadap harga petrol dan diesel sama ada menjurus kepada peningkatan ataupun penurunan.
"Harga minyak bukan faktor utama menentukan harga barangan tetapi sebaliknya ada faktor lain yang mempengaruhi harga barangan sama ada ia turun ataupun naik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi 'Lebih Nilai, Lagi Hebat' bagi produk minuman dan makanan Nestle (M) Bhd di sini hari ini.
Pada 1 Feb lepas, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON95 sebanyak 21 sen kepada RM1.70 seliter, RON97 turun 11 sen kepada RM2.00 seliter sementara diesel turun 23 sen kepada RM1.70 seliter.
Mengulas mengenai kempen Nestle hari ini, Hasan berkata ia adalah kempen promosi terbesar Nestle yang menawarkan penjimatan antara lapan hingga 33 peratus bagi 50 produk terpilih Nestle termasuk Milo, Maggi dan Nescafe.
Beliau berkata kempen itu yang akan berlangsung sehingga akhir bulan depan adalah inisiatif Nestle bagi menangani kos sara hidup rakyat ketika negara menghadapi harga minyak yang tidak menentu.
#diesel #Hasan Malek #petrol #RON95
;