Harga bahan mentah: 'Kita dengar pandangan Ismail Sabri' - PM
Abd Hadi Che Awang
Januari 23, 2023 23:41 MYT
Januari 23, 2023 23:41 MYT
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha menyelesaikan isu kenaikan harga bahan mentah yang menjadi fokus utama pentadbiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Anwar berkata, sekiranya dibuat perbandingan, beliau mengakui menteri-menteri yang dilantik dibawah pentadbirannya lebih bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu yang berbangkit.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya terbuka terhadap sebarang cadangan atau komen yang menjurus kepada penambahbaikan termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Tak apa... kita dengarlah pandangan dia tetapi penumpuan kita itu sebagaimana kita tahu, bagi memastikan 'production' (pengeluaran) itu cukup.
"(Kita juga) memberi dukungan kepada pengeluar dalaman mengenai telur, ayam, sayuran, itu (semua adalah perkara) yang diberi tumpuan.
"Saya sekiranya dibuat perbandingan (dalam tempoh) sebulan setengah, menteri berkenaan (kementerian terlibat) yang bekerja... kalau saya bandingkan, saya boleh akui yang dilakukan sekarang lebih bersungguh-sungguh," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ismail Sabri, yang dilapor menyifatkan saranan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meminta orang ramai tidak mengunjungi restoran dan kedai makan yang menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi, sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya berusaha untuk membantu pemilik restoran dan kedai makan mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.